Bagaimana Elakkan Ibu Hamil Kena Sawan
Kasihnya ibu bawa ke syurga…
Memang patut darjat ibu dinaikkan 3 kali lebih tinggi daripada bapa sebab masa mengandungkan anak tu lagi, ibu dah terpaksa tanggung pelbagai dugaan.
Salah satunya adalah tekanan darah tinggi. Walaupun sebelum tu ibu tak ada apa-apa penyakit atau apa-apa faktor risiko, namun setiap ibu yang mengandung mempunyai risiko untuk mendapat tekanan darah tinggi selepas trimester kedua akibat hormon yang dirembeskan oleh plasenta. Kalau ada faktor risiko lagi lah, jangan terkejut kalau pemantauan tekanan darah dilakukan dengan sangat teliti.
Biasanya tekanan darah tinggi semasa mengandung didiagnos apabila tekanan darah ibu mencapai 140/90mmHg dalam 2 keadaan atau 2 masa yang berbeza. Namun, bergantung kepada pengalaman doktor sama ada ibu perlukan rawatan ataupun tidak kerana terdapat kajian terbaru yang hanya apabila tekanan darah diastolik mencecah 120mmHg barulah ibu dimulakan ubat. Seharusnya, ibu mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat dulu. Mengawal pemakanan,mengawal tekanan emosi dan fizikal serta bersenam secara teratur.
Bagaimana terjadi tekanan darah tinggi semasa hamil?
Sebab kenaikan tekanan darah dikalangan kepada wanita hamil akibat perubahan yang berlaku kepada perkembangan uri semasa mengandung. Dalam uri terdapat banyak saluran darah dan tekanan darah tinggi berlaku dalam ibu hamil sekiranya salur darah (spiral arteri) dalam uri tidak berkembang seperti yang sepatutnya. Kerana salur darah ini mengecut, pengaliran darah ke uri tidak dapat berlaku dengan sempurna.
Apabila uri tidak mendapat oksigen yang cukup, sejenis bahan kimia dibebaskan ke dalam aliran darah ibu yang menyebabkan salur darah ibu turut mengecut untuk meningkatkan tekanan darah supaya dapat membekalkan darah yang cukup kepada uri.
Sebenarnya, peningkatan tekanan darah dalam ibu mengandung biasanya tak sama dengan pesakit tekanan darah tinggi biasa yang contohnya berkaitan dengan pemakanan yang tinggi garam. Ada juga berpendapat, tak ada guna pun kalau ibu mengandung kurangkan garam dan sebagainya. Tapi, kan lebih baik kalau ibu mengandung pun turut kawal pemakanan, takut masalah timbul lepas bersalin nanti pula.
Bagi ibu yang mengalami hypertensi gestasi iaitu masa mengandung sahaja, yang disebabkan oleh masalah bayi dan masalah uri, biasanya tekanan darah akan menurun sebaik sahaja ibu bersalin.
Risiko atau komplikasi tekanan darah tinggi terhadap ibu dan bayi
Dalam banyak keadaan, ibu yang mengalami tekanan darah tinggi tetap selamat melahirkan bayi yang sempurna. Namun, ibu harus sentiasa menjaga tekanan darah supaya sentiasa terkawal untuk mengelakkan sebarang komplikasi.
Komplikasi kepada ibu.
Walaupun punca darah tinggi semasa mengandung berlainan dengan tekanan darah tinggi biasa, namun perlu diingatkan kesannya adalah sama. Apabila tekanan darah terlalu tinggi, salur darah boleh pecah dan menyebabkan strok.
Semasa tekanan darah terlalu tinggi, doktor akan melihat 2 keadaan. Yang pertama, adakah tekanan darah tinggi disertakan dengan kencing kotor (iaitu kehadiran protein dalam air kencing). Jika terdapat kencing kotor, ibu mungkin akan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian kerana mempunyai risiko untuk terkena sawan.
Jika tekanan darah tinggi tidak disertai oleh kencing kotor, tekanan darah ibu akan dipantau dengan rapi mungkin untuk beberapa minggu.
Komplikasi kepada bayi.
1. Kurang pengaliran darah ke placenta menyebabkan kurangkan nutrisi dan oksigen kepada bayi. Perkembangan bayi mungkin terbantut dan risiko melahirkan bayi yang kurang berat badan adalah tinggi.
Ibu yang disahkan menghidap tekanan darah tinggi pada awal kandungan lebih terdedah kepada risiko ini
2. Ketika kandungan sudah sampai di penghujung, tekanan darah tinggi boleh menyebabkan aliran darah kurang ke placenta sehingga placenta boleh tercabut daripada tempat asalnya atau dikenali sebagai ‘abruptio placenta’ dan pendarahan yang banyak yang mengancam nyawa bayi boleh berlaku.
Abruptio placenta juga boleh berlaku jika ibu jatuh atau terlibat dalam kemalangan. Jadi, kalau ada terjatuh lebih baik pergi cek di klinik ya.
3. Risiko kelahiran pramatang juga meningkat, mungkin juga kerana oksigen secukupnya gagal dibekalkan kepada bayi sehingga memaksa bayi keluar lebih awal atau bayi digesa keluar lebih awal untuk mengawal tekanan darah ibu kerana biasanya selepas bayi lahir, tekanan darah ibu akan menurun.
Ada sesetengah ibu mungkin tidak biasa dengan perubahan gaya hidup untuk mengawal tekanan darah. Tips-tips berikut boleh diamalkan oleh ibu yang mempunyai tekanan darah tinggi semasa mengandung.
Tips mengawal tekanan darah semasa mengandung
1. Kurangkan garam dalam makanan dan kurangkan makanan segera.
Walauapun ada pakar yang berpendapat pengambilan garam berlebihan tiada kaitan dengan kejadian tekanan darah tinggi kepada ibu hamil, namun bagi saya sebaiknya ibu turut mengawal pemakanan semasa hamil kerana ibu juga seperti orang lain yang berisiko untuk mendapat tekanan darah tinggi jika mengambil garam atau makanan segera yang berlebihan.
2. Amalkan minum jus buah
Jus buah dipercayai boleh membantu ibu hamil mengurangkan tekanan darah tinggi. Jus buah juga mempunyai kandungan vitamin yang tinggi yang bukan sahaja baik untuk ibu. malah untuk bayi juga. Namun, sebaiknya ibu pilih buah-buahan yang segar dan tak perlu campur gula kerana buah sudah tersedia manis.
3. Sayur dan ulam
Sayur-sayuran dan ulam perlu menjadi menu utama ibu-ibu kerana sayur seperti tomato, daun sup dan daun saderi boleh menbantu mengurangkan tekanan darah ibu hamil.
4. Air asam jawa.
Selain bagus untuk menurunkan tekanan darah tinggi, air asam jawa juga boleh menyejukkan badan dan menghilangkan batuk dan sakit tekak.
Cara penyediaannya ialah mencampurkan setengah cawan air masak dengan sedikit pes asam jawa.
5. Bersenam
Cukuplah senaman ringan sahaja. Yang paling mudah ialah berjalan perlahan dalam 15-30 minit 3-4 kali sehari.Ibu juga boleh mengamalkan senaman yoga atau pilates yang santai dan membantu mengurangkan tekanan fizikal dan emosi.
6. Membuat kerja dengan teratur dan tenang.
Saya faham, kadang-kadang ibu mengandung mengalami tekanan walaupun tiada sebarang provokasi, mungkin kerana perubahan hormon. Jadi, ibu perlu belajar untuk bertenang, membuat kerja dengan teratur supaya kerja seharian sentiasa lancar dan tekanan darah pun terkawal saja.
7. Mengamalkan suplemen yang dapat membantu mengurangkan tekanan darah
Kadang-kadang apa yang kita makan tidak diserap sepenuhnya oleh badan. Kekurangan vitamin dan nutrisi mungkin boleh menyebabkan ibu letih dan penat sehingga mempengaruhi tekanan darah.
Pengambilan 2 suplemen ini sesuai untuk mengurangkan tekanan darah tinggi ketika hamil.
- Asid lemak Omega-3.
Omega-3 adalah asid lemak yang tidak dapat dihasilkan oleh badan namun sangat diperlukan, dan memang perlu diambil daripada sumber luar. Asid lemak ini berfungsi untuk melancarkan perjalanan darah dan membantu melicinkan perjalanan darah. Secara tidak langsung dapat menurunkan tekanan darah tinggi. Ia juga mengelakkan pembetukan darah beku dan menurunkan paras kolesterol yang turut menjadi punca tekanan darah tinggi.
- Kalsium dan magnesium
Kedua-dua mineral ini diperlukan oleh ibu mengandung bukan sahaja untuk pembetukan tulang dan gigi bayi yang kuat, tetapi magnesium juga berfungsi untuk mengawal pengecutan salur darah dan mengelakkan salur darah menyempit.
Kalsium dan magnesium memerlukan satu sama lain untuk penyerapan yang efektif dan turut berfungsi membantu meringankan stress dan depresi, memelihara denyutan jantung, membantu tidur yang lena dan untuk sakit kepala.
Semoga tips diatas dapat membantu ibu untuk mengawal tekanan darah tinggi seterusnya mengurangkan risiko komplikasi terhadap ibu dan bayi. Sudah tentu ibu sayangkan bayi yang dikandungkan?
Jika ibu ada sebarang persoalan mengenai tekanan darah tinggi semasa hamil atau sekadar ingin bersembang, boleh hubungi saya:
Fyda,
012 621 1883